SEPERTI yang sering dipaparkan dalam media sosial, nama penyanyi seberang seorang ini, Syahrini cukup sinonim sebagai lambang kemewahan.
Dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, setiap apa yang digayakan wanita yang mahu disapa Princess Syahrini itu, pasti menjadi perhatian khalayak.
Tidak lama dahulu, Syahrini pernah mendapat sorotan lensa kamera apabila beg tangan berjenama mewah, Hermes miliknya yang bernilai ratusan ribu ringgit hanya digunakan sebagai ‘bakul’ untuk mengisi sayur-sayuran yang dibeli di pasar.
Jika ke luar negara pula, wanita itu lebih selesa menggunakan pesawat peribadi. Alasannya, dia memerlukan rehat yang cukup ketika dalam penerbangan.
Kemewahan yang dipamerkan pemilik nama sebenar Rini Fatimah Zaelani, 39, bagaimanapun tidak terlepas daripada mendapat kritikan dan tanggapan negatif masyarakat Indonesia apabila ramai yang tertanya-tanya. Rata-rata mempersoalkan dari mana datangnya kemewahan yang dimiliki.
Menerusi satu temu bual dalam program berjudul Hitam Putih tidak berapa lama dahulu, pengurus yang juga adiknya, Aisyahrani mendedahkan, punca pendapatan kakaknya yang melimpah ruah adalah kerana rezeki Allah SWT.
“Semuanya disebabkan berkat rezeki oleh 6,500 anak yatim piatu yang disantuninya setiap tahun.
“Syahrini sangat suka membantu orang yang susah, terutamanya anak yatim piatu.
“Alhamdulillah sekarang dia sudah mempunyai sekitar 6,500 anak yatim piatu yang akan ditemuinya setiap tahun,” kata Aisyahrani.
Bayaran lumayan
Selain itu, Syahrini juga akan dibayar dengan bayaran yang lumayan setiap kali ketika mengadakan persembahan pentas.
Untuk sekali persembahan, penyanyi itu lazimnya dibayar sehingga 200 juta rupiah (RM58,647).
Jika keadaan kesihatan mengizinkan, Syahrini akan membuat persembahan sebanyak dua kali dalam sehari.
Namun, bayaran pertunjukan pentas yang diterimanya tidak sama dengan jumlah bayaran yang akan dibayar kepadanya jika dijemput untuk membuat persembahan secara eksklusif.
Kata pelantun lagu Cinta Tapi Gengsi itu, dia akan menerima bayaran sebanyak tiga kali ganda (sekitar RM175,941) daripada harga biasa jika diundang untuk membuat persembahan di acara tertutup atau bersyarat ketat.
“Individu yang memanggil saya untuk membuat persembahan pada acara tertutup biasanya meletakkan syarat.
“Saya tidak boleh berkongsi perihal jemputan tersebut atau membuat hebahan dalam media sosial,” jelasnya.
Selain menyanyi, selebriti kelahiran Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia itu juga diketahui mempunyai beberapa perniagaan seperti kedai kuih, pusat hiburan karaoke dan perusahaan hartanah elit.
Perubahan imej
Penampilan mewah, cantik dan seksi penyanyi yang memulakan karier sejak tahun 2005 itu bagaimanapun mengalami perubahan mendadak sejak Ramadan lalu.
Tanpa diduga, Syahrini tampil dengan imej sopan dan menutup aurat. Dia bahkan kelihatan lebih cantik apabila mengambil keputusan untuk berhijab.
Sudah tentu perubahannya mengejutkan banyak pihak, termasuklah media hiburan Indonesia.
Syahrini berkata, sejak mendirikan rumah tangga dengan Reino Barack pada 27 Februari 2019, dia membulatkan tekad untuk menjadi seorang wanita yang lebih baik.
“Selepas bernikah, saya ingin menjadi seorang wanita yang mengabdi sahaja. Tiada nilai ibadahnya dengan keadaan dunia hari ini atau apa sahaja yang kita miliki kerana Allah SWT bila-bila masa sahaja boleh menarik segala nikmat yang diberikan.
“Saya cuma ingin mencari reda Allah. Jika Tuhan beri kemewahan di dunia, saya takut jika di akhirat nanti amalan saya kosong,” ujarnya.
Penghijrahan imej Syahrini juga seiring dengan amalan ibadah yang digandakannya.
Ujar Syahrini, dia lebih fokus untuk mengerjakan amal ibadah sebanyak mungkin bersama suami tercinta.
Bagaimanapun, bohong jika wanita itu tidak berdepan dengan ‘godaan’ dunia ketika hatinya bulat ke arah kebaikan.
Hijrah menjadi sangat berat jika dilakukan bersendirian. Justeru, Syahrini sebenarnya tidak keseorangan sebaliknya, Reino juga ikut mengejar saham akhirat.
Tambah Syahrini lagi, faktor lain yang menjentik hatinya untuk berubah kerana sedar dirinya bukan semakin muda.
“Seiring pertambahan usia, hijrah adalah proses kehidupan seseorang apabila umurnya bertambah. Semakin bertambah usia, semakin kita dekat dengan kematian.
“Bahkan kematian itu sebenarnya boleh tiba pada bila-bila masa tanpa mengira usia,” katanya.
Sempat berkongsi kenangan silamnya, Syahrini tanpa berselindung mengakui jahil ketika menelusuri zaman lalunya.
Bahkan, Syahrini turut menggelar zaman lalunya sebagai ‘zaman jahiliah’ kerana terlalu asyik dengan nikmat dunia.
Jahil
“Dahulu ketika masih berusia muda, saya suka memakai pakaian terbuka. Tapi saya anggap itu adalah sebahagian daripada proses hidup menuju ke arah yang lebih baik.
“Tapi zaman itu sudah berlalu. Saya tidak mahu mengingatkannya semula. Sekarang keutamaan saya adalah suami, ibadah dan ingin akhiratnya diperbaiki perlahan-lahan. Semoga istiqamah,” ujarnya.
Selepas memutuskan untuk berhijab, Syahrini tidak terlepas daripada diajukan pertanyaan sama ada dia akan meninggalkan dunia glamor yang selama ini telah sebati dalam hidupnya.
Seperti penegasannya, suami ialah prioriti yang harus didahulukan berbanding kerjayanya sebagai penyanyi.
“Suami adalah keutamaan saya sekarang. Lagi pun pada waktu pandemik, saya jarang keluar dan banyak menghabiskan masa di rumah.
“Saya masih bekerja walaupun di rumah. Untuk bersara dalam bidang nyanyian itu masih belum difikirkan lagi,” katanya.
Dia juga bakal mengeluarkan sebuah single baharu dalam masa terdekat sebagai hadiah untuk peminat yang menyokong kerjayanya selama ini.
“Saya merancang untuk mengeluarkan sebuah single baharu nanti. Khusus untuk peminat tersayang,” katanya.