KELONGGARAN prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang diumumkan kerajaan pada awal bulan ini membuatkan ramai menarik nafas lega.
‘Kebebasan’ yang diberikan itu susulan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
Dengan kebenaran merentas daerah, melancong dan menginap di hotel di Lembah Klang, warga kota bagaikan dilepas daripada ‘ikatan’ yang selama ini merantai kaki tangan mereka.
Peluang yang sudah diberikan tidak dilepaskan sehingga ramai yang mula bersiar-siar pada hujung minggu dengan membawa ahli keluarga termasuk anak-anak kecil.
Keghairahan warga kota untuk ‘membalas dendam’ dengan bersiar-siar bagaikan tiada hari esok membuatkan banyak lokasi tumpuan pelancong menjadi sesak.
Antaranya air terjun Sungai Pisang di Batu Caves yang menjadi tular baru-baru ini kerana sesak dengan pengunjung sehinggakan tiada ruang untuk mandi-manda.
Situasi itu menjadi perdebatan dalam kalangan netizen dengan ramai yang menyelar sikap segelintir individu yang tidak mematuhi SOP.
Di media-media sosial, kita boleh melihat banyak gambar yang dikongsikan rakan-rakan yang mula membawa keluarga dan anak-anak beriadah, makan di restoran serta menginap di hotel-hotel termasuk di Langkawi.
Ada dalam kalangan kita yang skeptikal melihatkan keadaan itu dengan menyifatkan golongan tersebut sebagai ‘tidak sayangkan anak’ kerana membawa anak-anak kecil ke tempat-tempat yang sesak.
Bagi Rafidah Salleh, 44, kelonggaran yang diberikan kerajaan digunakan sebaiknya untuk membawa empat anaknya beriadah.
“Sebelum pergi ke mana-mana, saya sudah tetapkan dalam fikiran bahawa kita kini berada dalam norma dan persekitaran baharu. Jadi, saya menerapkan dalam diri dan anak-anak bahawa kami semua perlu patuh SOP.
“Bukan itu sahaja, hotel-hotel yang menjadi lokasi saya menginap turut melaksanakan SOP ketat, sekali gus membuatkan kami berasa selamat,” katanya.
Ditanya mengenai pilihannya untuk membawa anak-anak yang masih kecil keluar beriadah, Rafidah menjelaskan, setiap individu dan ibu bapa boleh membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk diri mereka.
“Jika mereka rasa mereka enggan keluar dari rumah, itu pilihan mereka. Jika ada yang mahu keluar dari rumah (beriadah) itu juga satu pilihan. Dalam keadaan norma baharu ini, kita perlu bijak membuat pilihan,” katanya.
Sebenarnya, tidak ada yang betul atau salah dalam situasi ini.
Umum mengetahui bahawa kes harian Covid-19 di Malaysia masih berada pada kadar tinggi buat masa ini dan dalam masa sama, kerajaan tidak boleh ‘mengurung’ lagi penduduk untuk tempoh yang lama.
Bagaimanapun, peringatan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa keadaan belum lagi kembali normal meskipun Perintah Kawalan Pergerakan sudah tidak dilaksanakan tetapi perlu diambil serius oleh setiap daripada kita.
“Jika anda menganggap perang terhadap Covid-19 telah berakhir, anda membuat satu kesilapan besar,” tegasnya.
Justeru, tidak kiralah sama ada anda berada dalam kelompok rakyat Malaysia yang teruja membawa anak-anak bersiar-siar atau masih paranoid serta memilih untuk duduk di rumah, apa yang penting adalah masing-masing perlu bijak menjaga SOP dan kekal berhati-hati.