PETALING JAYA – Walaupun sering diasak soal jodoh, penyanyi Shiha Zikir enggan terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga meskipun sudah 12 tahun menjalin hubungan cinta dengan kekasih hatinya.
Menurut Shiha, 34, sebagai wanita, dia juga enggan terlalu galak membuka mulut dan tidak mahu kerap berkongsi mengenai isu jodoh dan perkahwinan kepada umum.
Baginya, dia percaya dengan setiap aturan yang sudah ditentukan Tuhan dan enggan terburu-buru dalam melaksanakan sesuatu hal.
“Dalam hal ini, saya sendiri tak berani nak keluarkan sebarang kenyataan selagi majlisnya belum betul-betul akan berlangsung.
“Sebab saya bukan jenis yang terkejar-kejar soal kahwin dan tak mahu perkara tersebut terjadi dalam keadaan tergesa-gesa. Jangan risau, jika ada, saya akan kongsi kepada semua,” katanya dalam satu temu bual virtual bersama pelakon drama Perisik Cinta Tidak Diundang semalam.
Tambah kekasih hati Kamarul Arifin, 36, itu, dia mengakui sering ditanya bilakah majlis perkahwinan mereka akan diadakan memandangkan usianya kini sudah mencecah 34 tahun.
“Ramai juga yang bertanya tentang soal kahwin tetapi biarlah semuanya berlaku mengikut apa yang Tuhan telah tetapkan.
“Insya-Allah, saya akan tunggu situasi yang sesuai dan saya terima sekiranya majlis itu berlangsung pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Shiha menerusi satu laporan media memberitahu dia dan Kamarul tidak terlalu merancang soal jodoh kerana bimbang apa yang dirancang tidak akan menjadi kenyataan. – K! ONLINE