PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menyokong sepenuhnya usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengemukakan cadangan untuk mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali bagi mereka yang benar-benar mempunyai alasan kukuh.
Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs berpandangan kerajaan perlu mengambil langkah-langkah ke hadapan berdasarkan peraturan semasa yang sedia ada bagi memastikan penjawat awam keseluruhannya mengambil vaksin.
“Segala usaha dan kempen kesedaran pengambilan vaksin Covid-19 telah dilakukan oleh kerajaan dan ia sepatutnya sudah boleh difahami dengan jelas masyarakat mengenai kepentingan dan kebaikan vaksin Covid-19.
“Justeru itu, langkah baru seperti cadangan mewajibkan pengambilan vaksin perlu dilakukan untuk melengkapkan lagi usaha yang sudah dibuat selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, Cuepacs sendiri sebelum ini telah mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus untuk penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan boleh dilakukan kepada mereka yang tidak mengambil vaksin.
“Sewajarnya penjawat awam selaku jentera pentadbiran kerajaan yang melaksanakan segala dasar dan polisi kerajaan harus menjadi kumpulan pertama yang menjayakan aspirasi kerajaan.
“Bagaimanapun tanpa pekeliling khusus mengenai pengambilan vaksin oleh penjawat awam boleh mengakibatkan usaha untuk memastikan keseluruhan penjawat awam ini mengalami sedikit kesukaran,” ujarnya.
Beliau berkata, walaupun jumlah dua peratus penjawat awam yang belum mengambil vaksin tidaklah begitu besar, tetapi ia sepatutnya tidak berlaku kerana penjawat awam adalah pelaksana kepada dasar dan polisi kerajaan.
“Tindakan yang mahu diambil kerajaan ketika ini bukanlah bertindak untuk menghukum kerana pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin telah dilakukan bagi memastikan negara berjaya keluar daripada pandemik Covid-19.
“Cuepacs berharap penjawat awam akur dengan arahan semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan sesuai dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929