KOTA TINGGI – Sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Saint Kitts and Nevis ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di kedudukan 26 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, di sini semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram di perairan Johor Timur pada pukul 3.36 petang.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati kapal yang dikendalikan tujuh kru, warga Myanmar dan Indonesia berumur antara 22 tahun hingga 59 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dari Pengarah Laut Malaysia.
“Oleh itu kapal tangki beserta semua kru telah ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya dalam kenyataan hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929