ALOR SETAR – Sebanyak 1,556 kematian akibat Covid-19 dicatatkan di sembilan hospital kerajaan serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini sejak Januari hingga 5 September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kematian tertinggi dicatatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini iaitu seramai 504 orang.
Katanya, rekod tersebut kemudian diikuti Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani sebanyak 497 kematian.
“Selain itu sebanyak 335 kematian dicatatkan di Hospital Kulim, 73 kematian di Hospital Kuala Nerang, Hospital Baling (47), Hospital Sultanah Maliha (35), Hospital Sik (32), Hospital Yan (26) dan lima di Hospital Jitra.
“PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Kulim pula mencatatkan dua kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zamri Yusuf (PH – Suka Menanti) yang bertanya mengenai angka korban kematian Covid-19 dan pecahannya mengikut setiap daerah dalam sesi pertanyaan lisan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini
Mohd. Hayati menambah, kematian tertinggi dicatatkan pada bulan lalu yang mencecah 776 kematian diikuti 414 kematian pada Julai. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929