fbpx

Perkasakan hip-hop, Joe dipuji Snoop Dogg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI pertemuan secara virtual baru-baru ini, Snoop Dogg meluahkan keterujaan dengan penubuhan projek 16 Baris oleh Joe yang dilihat menyuburkan budaya muzik hip-hop di Malaysia.

BUAT penggemar muzik hip-hop tempatan, pasti masih ingat bahawa satu ketika dahulu, penyanyi rap kebanggaan tanah air, Joe Flizzow pernah berpeluang berduet bersama salah satu ikon hip-hop antarabangsa, Warren G.

Waktu itu, Joe bersama Malique menerusi jenama muzik, Too Phat berkolaborasi dengan Warren G dengan lagu berjudul Just a lil’ Bit.

Kini hampir dua puluh tahun berlalu, Joe Flizzow sekali lagi berjaya mencuri perhatian seorang lagi figura muzik hip- hop Hollywood iaitu Snoop Dogg.

Snoop Dogg atau nama sebenarnya, Calvin Cordozar Broadus Jr, memuji usaha Joe dalam memperkasakan muzik hip-hop tanah air dengan penubuhan rancangan atau projek 16 Baris yang diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Perkasa hip hop – Snoop

“Anda melakukan (usaha memperkasakan hip-hop dan mencari bakat baharu) dengan baik. Saya sukakannya.

“Inilah yang saya selalu perkatakan dan kamu melakukannya,” katanya dalam satu sesi perjumpaan secara virtual bersama Joe baru-baru ini.

Pelantun lagu Drop It Like It’s Hot itu turut berkongsi satu entri dirinya menonton episod 16 Baris dalam laman perkongsian video, YouTube yang menyaksikan Bunga Is Me, Noki dan Wo Shi Jay mengadakan persembahan pada 2019.

“@16.baris dope show with unsigned international rappers (acara hebat memaparkan rappers antabangsa yang belum ditandatangan),” tulis Snoop yang memiliki 65 juta pengikut Instagram sebagai kapsyen pada entri berkenaan.

Joe atau nama lengkapnya, Johan Ishak yang popular dengan lagu Apa Khabar itu bangga dapat bertemu Snoop Dogg biarpun secara virtual dan berharap dapat menjalinkan kerjasama, suatu hari nanti.

“Sesi Zoom yang sangat menakjubkan bersama legenda Snoop Dogg. Terima kasih atas kata-kata pembakar semangat. Saya akan terus mencipta lagi banyak sejarah,” katanya.

Bukan itu sahaja, dalam sesi perjumpaan virtual itu, Snoop turut mengatakan tidak sabar untuk bertemu Joe dan rakan-rakan di Malaysia dan berhasrat menghadiahkan seutas rantai tanda kesejagatan muzik hip-hop.

“Saya ada rantai nak berikan kepada kalian semua apabila kita bertemu nanti,” ujar Snoop.

Joe kemudian membalas: “Saya akan hantar karpet tak lama lagi anda hanya perlu bagi alamat (tertawa).”

Program 16 Baris direalisasikan sebagai satu pentas pencarian bintang hip-hop terbaharu Asia Tenggara.

Program tersebut menampilkan bakat baharu dunia hip- hop dari rantau Asia Tenggara khasnya dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Sejak menyertai keluarga Def Jam Recordings melalui penubuhan Def Jam Southeast Asia (SEA), usaha Joe dalam menerajui label hip-hop tersohor dunia itu semakin menyerlah.

Perjumpaan maya bersama Snoop Dogg juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan, sekali gus ke arah kerjasama dengan pasukan Def Jam di Amerika Syarikat.

Sehingga kini Def Jam SEA membariskan nama-nama besar seperti Joe Flizzow, Daboyway (Thailand), Yung Raja, Fariz Jabba dan ALYPH (Singapura) serta A.Nayaka dari Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI