PONTIAN – Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Sangkar 2 Kecil, Parit Baran, Ayer Baloi di sini malam ini.
Menurut anak mangsa, Muhammad Anaszeri Mohd. Nordin, 16, ketika kejadian pada pukul 7.10 malam itu, ayahnya, Abdullah Ariffin, 71, sedang solat Maghrib, manakala ibunya, Sumarni Mohd. Said, 50, mengambil air sembahyang.
Katanya, sewaktu dia sedang makan, dia terdengar letupan antara biliknya dengan abang sulung, Mohd. Amin Hamsah Muhammad Nordin, 26.
Menurutnya, selepas berlaku letupan, bilik tersebut terbakar dan dia meminta ibu dan bapanya keluar segera dari rumah dan cubaan untuk memadamkan api dengan menggunakan air tidak berjaya.
“Ketika kejadian, saya, emak dan ayah berada di rumah, manakala abang sulung turun ke laut dan seorang lagi abang, Muhammad Akmal Mohd. Nordin, 21, mengikut orang berniaga di Pontian.
“Kami hanya sempat mengambil beberapa dokumen penting seperti kad pengenalan, geran tanah, surat beranak kerana api begitu cepat marak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Muhammad Anaszeri, barangan elektrik yang dapat diselamatkann mesin basuk dan mesin jahit.
“ Malam ini kami sekeluarga menumpang di rumah mak saudara yang terletak dihadapan rumah kami, ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada pukul 7.16 malam sebelum tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kebakaran sebuah rumah jenis separuh kekal yang berkeluasan 80 x 50 kaki persegi telah terbakar 90 peratus,” katanya.
Tambah Azhar, api telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.53 malam serta berjaya mengawal api daripada merebak ke sebuah stor berhampiran.-K! ONLINE.