KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe optimis peluang pasukan negara pada kempen Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2020 terbuka tetapi dalam masa yang sama mengakui pasukan tidak boleh terlalu yakin.
Sebagai rekod, pasukan bola sepak kebangsaan telah diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos pada sesi ujian yang berlangsung di Singapura semalam.
Kata Cheng Hoe, keputusan undian pada kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara itu tidak banyak beza dengan edisi yang lepas tetapi fokus utama ketika ini adalah melakukan persiapan yang mantap.
“Setiap kali Piala AFF Suzuki, sudah tentu negara-negara terbabit yang kita akan temui dan undian edisi kali ini tidak banyak bezanya. Kelebihan sudah tentulah kita saling mengetahui corak permainan pasukan masing-masing.
“Namun, harus diakui Vietnam ketika ini berada dalam kelas tersendiri kerana mereka sudah beraksi di kelayakan Piala Dunia 2022 tetapi cabaran yang bakal diberikan oleh Indonesia, Kemboja, dan Laos juga tidak boleh dipandang ringan.
“Justeru, kami barisan kejurulatihan akan terus memantau perkembangan pasukan lawan dan dalam masa yang sama berusaha untuk mengatur persiapan rapi buat skuad kebangsaan,” katanya selepas tamat undian semalam.
Sementara itu, Cheng Hoe percaya perubahan format apabila saingan Piala AFF Suzuki 2020 dijangka berlangsung secara karnival ekoran pandemik Covid-19 bakal memberi cabaran lebih utama buat semua pasukan.
“Format sebelum ini aksi peringkat kumpulan kita akan harungi dua perlawanan di laman sendiri dan dua lagi di tempat lawan. Namun, difahamkan edisi kali ini saingan akan diadakan di satu negara sahaja secara karnival dan ia sudah tentu memberi cabaran tersendiri buat pasukan,” katanya.
Saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang sepatutnya dilangsungkan pada tahun lalu telah ditangguhkan sebanyak dua kali sebelum tarikh baharu ditetapkan pada 5 Disember hingga 1 Januari depan.
Bagaimanapun, venue pertandingan masih lagi belum diputuskan tetapi difahamkan tiga negara sudah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah iaitu Thailand, Singapura dan Kemboja.