fbpx

Jodoh ‘ekspres’ Zizi Kirana, Yusuf Bahrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIZI KIRANA dan Yusuf Bahrin menyatu ikatan perkahwinan pada Ahad lalu.

ATURAN Allah siapa yang dapat menidakkannya. Kalau sudah jodoh, cepat atau lambat bukan persoalan, itulah yang sudah tertulis di Luh Mahfuz.

Buat penyanyi bertubuh genit Zizi Kirana, dia sendiri tidak menyangka aturan Ilahi dalam rencana jodoh dan perkahwinannya.

Ahad lalu, 19 September, pemilik nama lengkap Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil itu selamat bergelar isteri kepada pelakon kacak, Yusuf Bahrin dalam sebuah majlis pernikahan ringkas yang diadakan di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju.

Dengan hanya sekali lafaz, pelantun lagu Eh! itu selamat berstatus permaisuri hati kepada Yusuf.

ZIZI dan Yusuf dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.

Kahwin ‘last minute’

“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar. Kalau nak tahu hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.

“Semuanya dilakukan saat-saat akhir. Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan. Tolong doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah.

“Insya-Allah kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan,” kata Zizi dalam satu temu bual bersama media secara virtual usai diijab kabul.

Perkahwinan ‘mengejut’ pasangan itu sekali gus meleraikan spekulasi dan khabar angin yang bertiup kencang dalam laman sosial mengenai perkahwinan mereka sejak Sabtu lepas.

Berkongsi tentang detik perkenalan, Zizi mula mengenali Yusuf ketika rakaman program hiburan, All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini.

Mereka mula serius mengenali hati budi masing-masing sekitar dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan meneruskan fasa hubungan ke alam perkahwinan.

“Pertama kali jumpa kenal Yusuf semasa rakaman program ATNMY. Masa tu kami tak bertegur pun, masih belum ada perasaan sampailah selepas raya Aidilfitri lalu, dia menghubungi sayadan kami mula berkawan.

“Saya selesa berkawan dengannya dan dia nampak ikhlas dalam perhubungan ini.

“Hinggalah hujung bulan Ogos, kami rancang untuk terus berkahwin. Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami ini, jadi rasanya tak perlulah nak tunggu lama-lama.

“Sejujurnya sepanjang perkenalan ini, kami hanya berjumpa beberapa kali sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Kami lebih banyak berkomunikasi menerusi telefon dan media sosial,” ujarnya.

TIADA perancangan bulan madu, sebaliknya Zizi dan Yusuf merancang untuk sama-sama menunaikan umrah suatu hari nanti.

Detik perkenalan, bulan madu

Ditebak pertanyaan mengenai cahaya mata, Yusuf menyerahkan perihal itu kepada rezeki dan kehendak Allah SWT.

“Kalau ada rezeki anak, kami terima seadanya. Kalau ada dua anak pun dah cukup. Kata orang, kalau sangkut, sangkutlah.

“Tiada perancangan bulan madu sebab esok saya sudah bekerja macam biasa. Cuma kita ada rancang untuk tunaikan umrah bersama selepas sempadan negara dibuka,” kata pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama rantaian Perempuan Tanpa Dosa itu.

MAJLIS pernikahan Zizi dan Yusuf diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Sopan santun, matang

Diajak berbicara tentang keistimewaan masing-masing yang membuatkan hati terpaut, baik Zizi mahupun Yusuf, mereka sudah terbuka berkongsi cerita.

Yusuf mengakui terpesona dengan keperibadian Zizi yang ‘gila-gila’, namun pada masa sama, sangat menghormati orang tua.

“Kami ‘sekepala’. Sama-sama masuk air dah rasanya itu yang membuatkan kami senang serasi sampailah berjodoh hingga ke jenjang pelamin.

“Walaupun Zizi lebih berusia, itu tidak menjadi satu masalah. Saya mungkin muda tetapi saya yang selalu beri nasihat dan memberi pertimbangan dalam sesuatu situasi.

Buat Zizi, dia tidak melihat beza usia dengan suami sebagai permasalahan. Zizi percaya, kematangan seseorang tidak sepatutnya diukur dari segi usia.

“Yusuf seorang yang sangat matang. Baik dari segi pemikiran dan fizikal. Dia mungkin baru berusia 29 tahun tapi pemikirannya macam orang tua.

ZIZI tidak melihat beza usia dengan suami sebagai permasalahan. Dia percaya, kematangan seseorang tidak sepatutnya diukur dari segi usia.

“Yusuf seorang yang amat sopan santun. Tengok sahaja muka macam ganas tetapi sangat lemah-lembut dan berbudi bahasa.

“Saya tidak melihat jurang usia satu masalah untuk kami terus serasi sebagai suami isteri. Apa pun, saya berharap ikatan sah ini akan kekal sehingga ke akhir hayat. Mohon doa yang baik-baik daripada orang ramai,” tutur Zizi.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.

Majlis pernikahan diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Penyanyi itu menerima mas kahwin senaskah al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula tidak didedahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI