fbpx

Jejak sejarah Slim River

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
ZAKI SALLEH, WARTAWAN EKSEKUTIF

USAHA bersungguh-sungguh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak me­ngangkat sejarah Pertempuran Slim River yang berlaku semasa Perang Dunia Kedua supaya diketahui khalayak patut dipuji.

Ia juga meletakkan nama-nama seperti Trolak, jambatan Kampung Slim, jalan lama Trolak-Slim River dan pekan Slim River dalam peta sejarah Malaya Campaign atau kempen pertempuran di Tanah Melayu dalam peristiwa yang menyaksikan kejatuhan Empayar British.

Pertempuran pada 6 Januari 1942 melibatkan rejimen infantri Jepun bersama 20 kereta kebal dengan dua buah briged tentera British dan India berkekuatan 3,200 anggota.

Daripada aspek taktikal, pertempuran ini telah menyaksikan keberkesanan penggunaan kereta kebal oleh tentera Jepun semasa menggasak pertahanan tentera British termasuk me­lakukan serangan mengejut pada waktu malam.

Walaupun memiliki bilangan anggota yang besar tetapi kekuatan British tidak seimbang apabila tidak mempunyai meriam penangkis kereta kebal serta periuk api yang cukup untuk menghalang kemaraan kereta kebal.

Pertempuran itu mengakhiri harapan tentera British bagi mempertahankan Tanah Melayu akibat korban tinggi dan kehila­ngan sejumlah besar peralatan ketenteraan.

Tewasnya pertahanan ­British telah membuka jalan mudah untuk tentera Jepun menawan Kuala Lumpur dan seterusnya me­ngasak lawan sehingga berundur ke Singapura sebulan kemudian.

Kesan tinggalan perang yang ada termasuk batu peringatan Jepun, jambatan di Trolak, laluan jalan lama antara Trolak dan Slim River dan jambatan yang tidak dimusnahkan oleh British di Kampung Slim.

Sejak sebulan lalu, UPSI mengetuai usahasama dengan Persatuan Sejarah Malaysia, Persatuan Warisan dan Sejarah ­Perak serta Majlis Daerah Tanjung Malim untuk memulihara kesan-kesan sejarah di situ.

Ia bermula dengan meletakkan papan tanda maklumat di lokasi pertempuran Slim River menggantikan papan tanda terdahulu yang dicuri.

Sehari sebelum sambutan Hari Malaysia, menerusi Muzium Pendidikan Nasional, UPSI membina monumen berupa karya arca dengan mengangkat tema peristiwa pertempuran itu berhampiran jalan besar jambatan Slim Village, Sungai Bernam iaitu lokasi pertempuran bersejarah itu berlaku.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md. Taff, monumen karya arca yang diberi nama ‘Semangat Merdeka’ tersebut merupakan salah satu inisiatif universiti tersebut untuk mengabadikan sejarah penting peristiwa pertempuran yang tercetus di Ladang Estet Cluney.

“Pertempuran Slim River ter­kenal kerana serangan penuh disasarkan ke atas sejumlah kecil tentera Jepun yang berjalan kaki dan menggunakan kereta kebal.

“Sebagai sebuah universiti yang menerajui pendidikan negara, adalah penting untuk UPSI memupuk kesedaran patrio­tisme dengan mengajak orang ramai menghayati peristiwa pertempuran bersejarah ini.

“Selain kaya dengan keindahan alam dan lanskap yang indah, dengan adanya monumen arca ini memberi tarikan terbaru di daerah ini,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, pertempuran Slim River bukan dilihat pada isu penglibatan tentera British dan India melawan asakan tentera Jepun, tetapi pada nilai peristiwa berkenaan.

“Peristiwa pertempuran itu wajar mencetuskan unsur ­patriotisme dan cintakan tanah air melalui penceritaan sejarah perang seperti mana rakyat ­Singapura mengagumi sejarah perjuangan Leftenan Adnan dan Askar Melayu di sana.

“Rakyat Singapura mempelajari kisah sejarah peperangan itu agar tidak mengulangi kesilapan sama membiarkan tanah air mereka dijajah,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI