KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Kemensah termasuk kerja berkaitan.
Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dalam satu kenyataan berkata, peruntukan tersebut daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Ia akan digunakan untuk penyediaan laluan masuk, platform jentera dan pemasangan cerucuk keping (Sheetpile) sepanjang 200 meter bagi mengelakkan kerosakan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran sungai tersebut.
“Kerja-kerja ini perlu dilakukan bagi membaik pulih aliran dan tebing sungai serta mengurangkan risiko pergerakan tanah di kawasan bersebelahan,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Tambah kenyataan tersebut, kajian penilaian dan tindakan itu selaras secara bersama oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan cawangan kejuruteraan cerun Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pada 17 September lalu, kejadian tanah runtuh telah berlaku di Jalan Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah.
Kejadian itu menyebabkan struktur tanah menggelongsor, menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir dan berlaku pergerakan aliran air bawah tanah yang mengakibatkan 27 rumah terjejas. – K! ONLINE.