JAKARTA – Sebuah warung cendol di wilayah Jawa Timur ternyata memiliki ‘pelaris’ tersendiri sehingga dapat menarik kedatangan ramai pelanggan untuk pergi ke gerai tersebut, lapor laman berita Suara.com hari ini.
‘Pelaris’ tersebut ialah anak kepada pemilik warung itu, Sabrina Dwi Istiqomah yang turut membantu membuat cendol di situ.
Menurut gadis yang masih belajar di sekolah menengah itu, warung yang diusahakan keluarganya itu pada awalnya tidak memiliki pelanggan yang ramai.
Keadaan itu bagaimanapun berubah selepas dia mula mempromosikan kedai makan tersebut di Instagram sehingga ramai pelanggan mula memenuhi warung mereka.
“Saya menghasilkan pelbagai bentuk kandungan mengenai warung ini agar lebih dikenali masyarakat sekeliling.
“Selepas memuat naik kandungan-kandungan tersebut, warung ini mula diserbu orang ramai,” katanya yang kini turut bergelar selebriti media sosial.
Sementara itu, bapa Sabrina, Fathurozi berkata, dia berasa gembira kerana warung miliknya kini didatangi oleh ramai pelanggan selepas menjadi popular hasil promosi yang dilakukan anaknya.
“Saya tidak menyangka bahawa warung ini akan mendapat sambutan seperti ini daripada pelanggan dekat dan jauh, bahkan ada pembuat kandungan YouTube dari Jakarta yang datang ke sini,” katanya.
Tambah Fathurozi, disebabkan terlalu ramai pelanggan, setiap hari isterinya perlu memasak sehingga 20 kilogram beras bagi memenuhi kapasiti pelanggan. – Agensi