PETALING JAYA – Artikel berujudul Imamku Perokok tulisan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menarik perhatian ramai, sejak semalam.
Kebanyakan pembaca menyokong penulisan tersebut dan menyifatkan golongan perokok terutamanya individu beragama Islam perlu berusaha meninggalkan tabiat yang memudaratkan kesihatan itu.
Isu yang diketengahkan Dr. Zulkifli menerusi ruangan dikenali sebagai Maktabah al-Bakri itu mendapat tanda suka lebih 8,000 kali dan dikongsi lebih 1,600 kali selepas dimuat naik di laman Facebook beliau semalam.
Namun ramai dalam kalangan perokok kelihatan tidak berpuas hati dengan kupasan tersebut dan mereka kelihatan seolah-olah begitu cepat tidak bersetuju tanpa membaca artikel berkenaan sepenuhnya.
“Ya, imam perokok macam kami tidak setebal dan sehebat bukan perokok, anda dekat dengan Tuhan tetapi kami tetap bertuhankan Allah juga. Jangan melampau sangat wahai orang-orang suci,” luah seorang netizen.
“Hanya Tuhan saja yang boleh bagi haram. Manusia hanya melarang. Contoh haram merokok sebab memudaratkan. Kalau begitu gula haram sebab boleh buat orang sakit kencing manis,” komen seorang lagi.
“Aku rasa manusia yang menfatwakan haram merokok kalau hendak ikut logik mudarat, banyak lagi benda kita amalkan hari-hari memudaratkan. Gula, garam dan minyak semua ada mudarat,” ujar seoramg lagi.
“Perokok memang trigger (mudah marah) hantaran begini. Tidak boleh terima kenyataan. Klinik berhenti rokok percuma saja,” balas Hafizah Haris.
“Saya perokok pasif. Saya sesekali menjadi imam. Saya bawa penceramah dan mengurus program masjid. Saya akui rokok tidak elok. Datuk tidak kecam perokok pun. Bahasa pasarnya, sedar kesilapan kita, diam dan usaha untuk tinggalkan,” nasihat Matten Ihsan.
“Benar, sebab itu saya nyatakan sah solat di belakang perokok dan itu lebih baik daripada solat berseorangan. Cuma lebih utama, menasihatinya untuk tidak lagi merokok. Boleh baca artikel ini,” balas Dr. Zulkifli. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929