fbpx

Pahang kurang satu kriteria ke fasa PPN seterusnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy

KUANTAN – Pahang sudah memenuhi semua kriteria untuk beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali satu iaitu kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital yang masih tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wa Ismail berkata namun perkara itu sudah dibangkitkan dalam mesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

“Mereka yang dijangkiti Covid-19 dan berada dalam ICU memerlukan jangka masa sehingga dua minggu untuk pulih namun mereka yang berada di luar juga perlu meneruskan kehidupan.

“Kita minta supaya Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memberikan pertimbangan khas untuk kita beralih ke Fasa Tiga,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau proses vaksinasi untuk pelajar sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy optimis negeri Pahang dapat mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini seperti dijadualkan walaupun data menunjukkan terdapat kira-kira 100,000 penduduk negeri ini belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

“Setakat ini di Pahang lebih 83.8 peratus sudah mendapat dos pertama dan 61 peratus sudah lengkap menerima dua dos namun mengenai data yang mengatakan terdapat lebih 100,000 penduduk belum mendaftar, kita akan semak balik.

“Kemungkinan angka itu tidak tepat, mungkin ada penduduk Pahang mendapatkan suntikan vaksin di luar negeri ini, mungkin di Lembah Klang, jadi data ini kita akan selaraskan semula.

“Begitu juga dengan program suntikan vaksin yang dijalankan secara besar-besaran, ada yang dapat vaksin melalui MySejahtera, ada yang dapat melalui kuota tentera, kuota Felda, sumber (untuk mendapatkan vaksin) banyak dan disebabkan itu, ada yang kita ingat masih belum mendaftar sedangkan mereka sudah dapat vaksin,”ujarnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI