PETALING JAYA – Gara-gara berkongsi momen indah sempena majlis pernikahan adik perempuannya, Dr. Fasiha, pelakon sensasi Fathia Latiff dihujani pertanyaan netizen tentang jodohnya.
Bahkan, terdapat juga netizen yang sempat memberi cadangan supaya pelakon itu dijodohkan dengan penyanyi rap, Caprice.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, Fathia yang kelihatan manis berhijab dan berbusana serba putih memuat naik foto sedang membetulkan tudung yang dipakai adiknya.
“Selamat pengantin baharu Fasiha Latiff,” ucapnya ringkas.
Bagaimanapun, perkongsian pelakon drama Ariana Rose itu sempat menjadi usikan netizen apabila bertanyakan pula soal jodohnya termasuk cuba menjodohkannya dengan Caprice.
“Selepas ini, Fathia dan Caprice. Perkahwinan yang sangat ditunggu-tunggu,” tulis peminat di ruangan komen.
“Adik dah kahwin, Fathia bila lagi?” kata seorang netizen.
“Semoga jodoh yang baik juga untuk sis (Fathia),” komen seorang pengikutnya.
Sekadar info, Fathia dan Caprice sebelum ini pernah ‘perang besar’ dalam Instagram sekitar tahun 2018 berkaitan beberapa isu sehingga kedua-dua mereka saling berbalas kenyataan dalam media sosial.
Caprice juga pernah menjemput Fathia dalam sebuah temu bual yang dimuat naik dalam Instagramnya berhubung isu hijrah dan hijab pada tahun lalu. – K! ONLINE