fbpx

Penganggur diberkas jadi keldai akaun pinjaman tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Seorang penganggur diberkas selepas dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket pinjaman tidak wujud di pekarangan sebuah balai polis di Negeri Sembilan, semalam.

Penangkapan suspek berusia 42 tahun itu dilakukan pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek dikehendaki susulan laporan polis seorang penyelia kilang berusia 45 tahun yang kerugian RM21,350 akibat penipuan pinjaman tersebut pada Mei tahun lalu.

Katanya, mangsa telah berurusan dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp untuk melakukan pinjaman peribadi sebanyak RM10,000.

“Suspek memaklumkan syarikatnya berdaftar atas nama sebuah institusi kewangan selain menyatakan nama mangsa telah disenarai hitam atas tunggakan pinjaman dengan syarikat lain.

“Mangsa telah diarahkan melakukan beberapa bayaran bernilai keseluruhan RM21,350 bagi memproses pinjamannya sehingga berjaya sebelum menyedari ditipu apabila nombor telefon suspek gagal dihubungi lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan mendapati suspek mengakui telah menyerahkan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) kepada pihak lain untuk tujuan mendapatkan wang pinjaman.

Shamsul Amar menambah, disyaki akaun suspek telah digunakan oleh pihak lain untuk tujuan penipuan atau keldai akaun.

“Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada suspek menerima bayaran bagi penjualan akaun tersebut dengan polis mendapat perintah reman selama tiga hari terhadap suspek tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI