fbpx

Pakai Hanfu terima vaksin sempena rai festival kuih bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bryan Ng Chee Hong mengenakan hanfu bagi memeriahkan festival kuih bulan hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 di (PPV) Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah hari ini.

BATU GAJAH – Pakaian masyarakat Cina, Hanfu yang digayakan seorang pelajar tingkatan lima menarik perhatian ramai semasa hadir menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Bandaran Kinta. di sini.

Sambil memegang kipas tangan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tronoh, Bryan Ng Chee Hong, 17, memilih pakaian tersebut bersempena perayaan Festival Kuih Bulan.

Katanya, dia telah membuat persiapan awal untuk memakai Hanfu selepas mengetahui tarikh temujanjinya untuk menerima vaksin jatuh pada sambutan tersebut.

“Saya sangat gembira apabila dapat tahu hari ini akan terima vaksin kerana semua ahli keluarga saya sudah dapat vaksin, saya sahaja belum.

“Kemudian saya teruja kerana ini pertama kali saya membeli serta memakai Hanfu untuk memeriahkan suasana serta berkongsi bersama rakan-rakan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Brian merupakan antara 1,500 pelajar tingkatan empat dan lima dari sekolah dalam daerah Batu Gajah yang menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja).

Sementara itu, pelajar tingkatan empat SMK Tarcisian Convent, Ipoh, Nur Adlina Batrisya Mohd. Jamil pula menzahirkan rasa gembira walaupun gementar untuk menerima suntikan.

“Saya dapat tahu saya akan dicucuk vaksin hari Ahad baru-baru ini selepas dimaklumkan oleh cikgu untuk menyemak MySejahtera dan memang gembira rasanya sebab lama dah tunggu.

“Sejak semalam lagi perasaan saya bercampur ada rasa gembira, teruja dan takut sampai saya bangun tidur pukul 5 pagi tadi sebelum bergerak ke PPV sini pukul 8 pagi dengan keluarga” katanya.

Tambahnya, sejak mengetahui golongan remaja boleh menerima vaksin dia sering menanti gilirannya memandangkan boleh ke sekolah selepas sekian lama mengikuti sesi Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Seorang lagi pelajar tingkatan lima, Muhammad Amir Dinie Khalil, berkata dia memilih untuk divaksin demi keselamatan dirinya, keluarga serta orang disekelilingnya memandangkan semua individu berisiko dijangkit Covid-19.

Pelajar Sekolah Seni Malaysia Perak, Sungai Siput ini berkata, ibu bapanya kini tidak perlu khuatir keselamatannya apabila dibenarkan bersekolah kerana sudah menerima vaksin

“Pergi ke sekolah lebih selamat apabila sudah divaksin dan langkah yang diambil kerajaan mempercepatkan vaksinasi kepada golongan remaja benar-benar membantu” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI