SEBERANG PERAI – Sebanyak empat kontena mengandungi kira-kira 100 tan susu tepung dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang selepas melakukan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Butterworth di sini semalam.
Penahanan kontena semasa pemeriksaan rutin kira-kira pukul 4.40 petang itu dibuat selepas pengisytiharan dokumennya didapati tidak tepat.
Maqis negeri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah merampas sebanyak 4,000 bungkus susu tepung seberat 100,000 kilogram dari Belanda bagi siasatan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan adalah dianggarkan bernilai RM650,902.91.
“Penahanan dibuat kerana didapati kosainan tersebut telah mengisytiharkan dokumen yang tidak tepat sepertimana yang dinyatakan pada syarat dokumen Permit Import Maqis yang sah iaitu mengemukakan maklumat yang berbeza dan mengelirukan pada sijil kesihatan veterinar dari negara pengimport,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan tersebut menambah, tujuan pengimportan susu tepung berkenaan adalah sebagai produk yang diproses untuk dijadikan makanan dan minuman manusia.
Menurut kenyataan itu, hasil produk proses berkenaan dipercayai bagi kegunaan pasaran negara ini dan dipasarkan ke luar negara.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929