fbpx

339 premis pembekal, peruncit ayam diperiksa di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zawawi (dua kanan) melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam hari ini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Sebanyak 339 premis terdiri daripada pembekal dan peruncit ayam di Selangor diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam tempoh tujuh hari bermula 13 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, daripada jumlah itu, 247 premis sedia patuh jual pada harga lebih rendah dan pada harga yang disarankan iaitu RM9.50 manakala 86 premis lagi bersetuju membuat perubahan harga jual.

Katanya, sebuah premis pula didapati menurunkan harga secara serta-merta kepada RM9.50 dan enam lagi premis lain setuju secara bersyarat untuk menurunkan harga iaitu apabila pembekal dapat menjual dengan harga borong yang lebih rendah.

“Pemeriksaan harga ayam yang dijalankan sejak 13 September lalu di pasar-pasar utama dan premis runcit di seluruh negeri telah menunjukkan penurunan dan kestabilan harga runcit, iaitu harga purata jualan runcit ayam telah mula dijual di antara RM8.50 sehingga RM9.50.

“Harga ini adalah hasil daripada semakan semula dan perubahan harga yang dibuat oleh pihak peniaga semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan oleh Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor,” katanya pada sidang akhbar selepas menjalankan pemeriksaan dan pemantauan harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zawawi berkata, pendekatan yang telah diambil oleh KPDNHEP Selangor menerusi sesi libat urus bersama peniaga di setiap peringkat rantaian bekalan ayam telah memberikan hasil yang positif apabila peniaga bersetuju memberikan kerjasama menurunkan harga masing-masing dan mengekalkan keuntungan yang munasabah.

Ujarnya, sebanyak dua notis tindakan pengeluaran Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPBM) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 juga telah dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat terperinci.

“Kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini dalam situasi terkawal dan stabil. Pengguna digalakkan untuk terus membuat pembelian secara bijak dengan sentiasa membuat semakan dan perbandingan harga berdasarkan lokasi semasa pengguna dalam radius 10 kilometer menggunakan Aplikasi Price Catcher,” jelasnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI