fbpx

Hasanah tidak buat laporan polis kes kecurian AS$6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan menunjukkan antara barangan yang terdapat di dalam lori yang dicuri pada sidang akhbar kejayaan tangkapan dan rampasan sindiket curi lori di Rawang di sini hari ini. - Foto: SHIDDIEQIIN ZON

GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak menerima laporan polis membabitkan isu tular dakwaan kehilangan barangan kes wang tunai USD 6 juta yang dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, mangsa atau pemilik wang berkenaan merupakan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

“Setakat ini, pemilik wang berkenaan tidak membuat laporan polis dan kita tidak menerima sebarang laporan seperti yang dijelaskan sebelum ini.

“Pada masa ini, tidak dapat disahkan sama ada benarkah wujud kes curi dalam kejadian ini disebabkan mangsa sendiri tidak membuat laporan polis,” katanya ketika sidang akhbar kejayaan tangkapan dan rampasan sindiket curi lori di Rawang di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu, dakwaan berlaku kecurian wang barang kes tersebut telah didedahkan sebuah blogspot menggunakan nama ‘Edisi Siasat’ dan pihak polis sedang berusaha mengesan pengendali dan pemilik laman blogspot terbabit.

“Kita juga sedang mengesan pengendali laman blogspot Edisi Siasat ini untuk mendapatkan maklumat serta menjalankan siasatan lanjut dan tindakan menyebar dan menularkan maklumat tidak benar adalah salah dan boleh disiasat.

“Sekiranya siasatan kes berkenaan membabitkan agensi atau jabatan kerajaan lain maka saya sarankan pihak media merujuk kepada jabatan berkenaan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap bekas seorang ketua jabatan.

SPRM berkata ketiga-tiga pegawainya telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI