fbpx

APMM tahan 6 nelayan langgar syarat lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah bot pukat tunda dengan empat nelayan ditahan di perairan Kuala Kedah kerana menangkap ikan di zon larangan

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menahan enam nelayan bersama dua bot kerana menangkap ikan di kawasan larangan di perairan Kuala Kedah di sini semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, tangkapan pertama membabitkan bot pukat tunda kelas C pada jarak lebih kurang 12 batu nautika dari muara Kuala Kedah kira-kira pukul 2.51 pagi.

“Pemeriksaan menemui seorang tekong serta tiga kru warga tempatan berusia antara 41 hingga 63 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya kemudian menahan sebuah bot peranti pada jarak kira-kira 8.5 batu nautika dari muara Kuala Kedah pada pukul 4.51 pagi.

“Seorang tekong dan seorang kru warga tempatan berusia 32 dan 42 tahun ditahan,” ujarnya.

Menurut Mahmad Faizal, dua bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen kerana beroperasi di bawah 15 batu nautika dari pantai.

“Kedua-dua bot bersama enam nelayan tempatan serta kira-kira 300 kilogram hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,  “ katanya.

Beliau pada masa sama meminta semua pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan.

“Pihak APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara,” jelasnya.

Orang ramai diminta menyalurkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI