PETALING JAYA – Gembira dalam sayu. Itulah yang perasaan yang dilalui pasangan selebriti, Ozlynn Waty dan Johan apabila anak sulung mereka, Ahmad Ariq Hanania berlepas ke Ireland bagi memulakan pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti di sana Ahad lalu.
Meluahkan kerinduan terhadao si teruna berusia 18 tahun itu, Ozlynn berkongi momen manis mereka sekeluarga sebelum Ariq meninggalkan tanah air.
“Ya Allah, peliharalah anak kami Ariq, permudahkan urusannya, tenangkanlah hatinya dalam menimba ilmu, kuatkan imannya dalam beribadah, cekalkan hatinya menempuh ujian-Mu, berkatilah setiap ilmu dan rezeki yang Kau berikan. Amin.
“Ariq, papa dan mama sayang kamu. Jadilah anak yang sentiasa mengutamakan akhirat. Doa papa dan mama takkan pernah berhenti selagi bernyawa. Kami sayang kamu Ariq Hanania,” kata pelakon itu.
Menerusi hantaran sama, Johan dilihat bergurau sambil mendukung anak lelakinya itu, manakala anak-anak lain turut meminta bapa mereka berbuat perkara sama.
“Anak siapa ni? Tak malu dah besar panjang minta dukung, minta suap makan, minta korekkan telinga, potongkan kuku, mandi kalau papa dia ketuk suruh buka pintu, selamba dia buka.
“Tidur bawah ketiak papa lagi, kadang-kadang minta papa buatkan susu sebelum tidur. Ada ke yang macam dia? Tapi itu masa manja, masa mengaji tak dapatlah bermanja macam tu,” kata Ozlynn lagi.
Biarpun sering bergurau senda dan memanjakan anak, Johan atau nama sebenarnya Yazid Lim sangat tegas dalam mendidik ke semua cahaya mata mereka terutama Ariq selaku anak sulung.
“Tapak kaki dia masih kena libas kalau buat salah, menyakat adik, adik melalak (menangis), semua kena libas.
“Masih baby di mata papa dan mama. Sekarang baby besar ni dah mula berdikari, urus diri sendiri, makan minum semua sudah tiada siapa nak suapkan,” tambah Ozlynn.
Selain Ariq, rumah tangga mereka diserikan lima lagi permata hati iaitu Sodiq, Haziq, Chantiq, Moleiq dan seorang bayi yang baru dilahirkan.
Ozlynn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, 39, kini masih dalam pantang selepas melahirkan anak ke enam pada 3 September lalu.
Nyata, rata-rata pengikut termasuk rakan selebriti turut merasa syahdu dengan coretan tersebut selain menzahirkan ucapan tahniah kepada Ariq yang bakal menempuh fasa mencabar untuk bergelar doktor.
Sebelum ini ramai menjadikan Ozlynn dan Johan sebagai ibu bapa contoh yang mengutamakan pendidikan seimbang kepada anak mereka malah turut mengajar mengaji sendiri di rumah. – K! ONLINE