PETALING JAYA- Penyanyi Ramlah Ram memohon doa orang ramai selepas ibu dan adiknya disahkan positif virus Covid-19 semalam.
Berita tersebut dikongsikan Ramlah, 56, menerusi satu status dalam Instagram miliknya sebentar tadi.
“Saya hamba yang tidak berdaya ini memohon bantuan semua. Tolong doakan mak dan juga adik saya, Shafiei cepat sembuh.
“Mohon semua keluarga saya di Kluang, Johor dijauhkan daripada penyakit ini. Baru semalam (ibu dan adik) disahkan positif Covid,” tulisnya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Selamat Jalan Romeo itu juga meluahkan rasa bimbang terhadap tahap kesihatan ibunya.
Hal ini kerana, menurut Ramlah, ibunya yang bernama Ne telah mencecah usia 80 tahun.
“Saya tengah tidak tahu hendak buat apa lagi, hanya mampu berdoa pada Allah. Saya amat risaukan keadaan mak dengan umur sudah mencecah 80 tahun.
“Sekali lagi, mohon tolong doakan kesembuhan mak dan adik saya. Semoga Allah akan membalas jasa baik kalian berlipat kali ganda. Amin,” tulis Ramlah memohon doa. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929