JAKARTA – Penduduk sebuah perkampungan digelar Kampung Janda yang terletak di daerah Bogor, Jawa Barat membantah nama yang diberikan kepada desa tersebut kerana disifatkan sebagai satu penghinaan, lapor laman berita Detik.com semalam.
Kampung Janda adalah nama julukan yang lebih dikenali ramai berbanding nama sebenar desa itu iaitu Kampung Panyarang.
Menurut Ketua Kampung Ciburayut, Duloh, berbeza dengan namanya, kampung tersebut didakwa tidak didiami oleh ramai ibu tunggal.
“Sebenarnya, tidak ada masalah jika seseorang wanita itu menjadi ibu tunggal, cuma penduduk kampung enggan menerima nama julukan tersebut,” katanya.
Sementara itu, tambah Duloh, nama gelaran Kampung Janda mula muncul kerana terdapat ramai wanita di situ menjadi janda akibat kematian suami.
“Ramai golongan lelaki di kampung ini bekerja sebagai buruh di tapak perlombongan haram.
“Disebabkan itu, ramai wanita kematian atau ditinggalkan suami mereka disebabkan sakit, kemalangan di tempat kerja atau sebab-sebab lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Siti Yuningsih berkata, dia berharap agar orang ramai tidak lagi memanggil kampung itu sebagai Kampung Janda sehingga menyebabkan ramai orang luar pergi ke situ hanya semata-mata kerana namanya.
“Kami berharap agar orang ramai tidak lagi menggelar kampung ini sebagai Kampung Janda. Sebaliknya, sebutlah nama sebenarnya iaitu Kampung Panyarang,” katanya. – Agensi