fbpx

7 November keputusan rayuan kes rasuah bekas Exco Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL LATIF hadir ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 7 November ini bagi menjatuhkan keputusan sama ada bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi perlu membela diri atau bebas daripada 37 pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut hari ini selepas selesai mendengar hujahan barisan pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding rayuan kes yang berlangsung selama dua hari.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan ketiga-tiga tertuduh.

Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahannya berkata, Mahkamah Sesyen sebelum ini telah terkhilaf dalam keputusannya.

Menurut beliau, dalam kes tersebut pihak pembelaan iaitu Abdul Latif telah mengakui beliau menerima kesemua wang bernilai RM16 juta tersebut.

“Cuma beliau mengatakan ia adalah pinjaman daripada Amir (Perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub) yang mana pihak pendakwaan berhujah pinjaman tersebut asal-usulnya daripada pemaju-pemaju perumahan yang ingin mendapat pelepasan bumiputera, yang mana Abdul Latif ada peranannya dalam membuat pelepasan itu.

“Jika diambil kira hal keadaan kes ini, Abdul Latif bersubahat dengan responden pertama (Amir) dan kami tidak perlu membuktikan responden kedua (Abdul Latif) ada menerima duit, apa yang perlu kami buktikan adanya pakatan jenayah di antara Amir dan ada pertolongan daripada Abdul Latif untuk Amir melakukan kesalahan tersebut.

“Hakim bicara telah terkhilaf dalam pemahaman undang-undang yang ada dan telah tidak mempertimbangkan keterangan-keterangan yang penting dalam alasan penghakimannya,” katanya.

Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

Selain itu, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim, dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

Pada 14 Jun 2017, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing dihadapkan dengan empat pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Sebelum itu, Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain Wan Shaharuddin, barisan pendakwaan turut disertai Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong.

Manakala tertuduh dibarisi peguam, Datuk Salehuddin Saidin dan Datuk Hasnal Redzua Merican.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI