fbpx

Pendekatan baharu KPDNHEP berjaya turunkan harga ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai penguat kuasa sentiasa membuat pemantauan bagi memeriksa harga ayam di pasaran agar tidak membebankan pengguna.

PETALING JAYA – Beberapa pendekatan baharu yang diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menangani isu kenaikan harga ayam dilihat mula membuahkan hasil.

Kejayaan itu dapat diterjemahkan apabila harga ayam bersih standard di beberapa negeri seperti Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Kuala Lumpur kini dijual di bawah harga RM10 sekilogram (kg).

Dalam pada itu, pemeriksaan dilakukan penguat kuasa KPDNHEP di beberapa pasar sekitar ibu negara turut mendapati hanya pasar awam di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur menjual ternakan itu dengan harga melebihi RM10 sekilogram, manakala lokasi lain di bawah paras itu.

Alexander

Menurut Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pihaknya sentiasa mengambil maklum suara orang ramai berhubung kenaikan itu berikutan dilihat memberi impak kepada kos sara hidup terutamanya dalam suasana Covid-19.

“Kami mengambil beberapa pendekatan untuk menstabilkan semula harga ayam antaranya mengeluarkan surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong serta runcit untuk menjalankan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi berlaku kenaikan.

“Usaha itu membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung lebih munasabah serta memberi peringatan supaya tidak menaikkan harga di peringkat pengedaran sesuka hati,” katanya.

Pada masa sama, KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan menerusi 1,000 Pegawai Pemantau Harga yang berperanan mengutip harga setiap hari dan tindakan segera akan diambil kepada premis mengenakan harga tidak munasabah.

Alexander berkata, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa turut menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara agar peniaga di semua peringkat terutama peruncit tidak mencatut harga serta lebih beretika.

“Berdasarkan pemeriksaan itu, harga runcit pada 10 September 2021 mendapati, harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah pada paras RM8.83 sekilogram.

“Di Semenanjung pula, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.78 sekilogram dan julat harga jualan adalah antara RM5.99 hingga RM11 sekilogram,” ujarnya.

Di Sabah pula, katanya, harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33 sekilogram, manakala di Sarawak, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56 sekilogram.

Pengguna perlu bijak memilih premis yang menawarkan barangan dan bahan mentah pada harga yang telah dikawal oleh kerajaan.

Bagaimanapun, beberapa pasar raya besar seperti Tesco, Lotus, Mydin dan Econsave masih menawarkan harga ayam pada kadar berpatutan serta disifatkan tidak membebankan pengguna khususnya golongan B40.

“Jadi, KPDNHEP meminta agar semua peniaga di peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan seterusnya membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Alexander menjelaskan, KPDNHEP akan mengadakan perbincangan berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan faktor huluan seperti dedak ayam diimport yang mempengaruhi harga ayam diminimumkan.

“Kementerian juga tidak bercadang memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang dilaksanakan ketika musim perayaan besar di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

“Bagaimanapun, KPDNHEP tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika ia terus meningkat di luar kawalan atau terdapatnya kartel yang memanipulasi harga di semua peringkat rantaian,” jelasnya.

Menurut laporan, kenaikan harga ayam sebelum ini disebabkan peningkatan kos bagi bahan-bahan utama makanan ayam sehingga 80 peratus seperti jagung dan soya yang diimport sepenuhnya akibat permintaan tinggi terutama dari negeri China dan kesan pertukaran asing.

Susulan itu, pengguna diminta bersabar dengan situasi tersebut berikutan ia hanya bersifat sementara selain perlu lebih bijak untuk membeli ayam di premis yang menawarkan harga murah serta berpatutan.

Pengguna juga disarankan menggunakan Aplikasi Price Catcher untuk mendapatkan maklumat harga dan premis serta membuat perbandingan harga barang keperluan sebelum berbelanja.

Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih fleksibel untuk beralih ke kedai lain jika premis yang sering mereka berbelanja tidak lagi menjual pada harga yang menepati bajet mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI