KETUA jurulatih kelab Petaling Jaya City FC (PJ City FC), K. Devan tidak mahu anak-anak buahnya memandang rendah dengan keupayaan Terengganu FC I (TFC I) dalam misi meraih tiga mata pada aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam ini.
Kata Devan, pasukan gergasi Pantai Timur itu memiliki kualiti tersendiri yang boleh menyukarkan anak-anak buahnya khususnya ancaman di bahagian jentera serangan.
“Kita tahu kelebihan yang dimiliki oleh pasukan TFC I yang mempunyai barisan import berkualiti di jentera serangan. Ia terbukti selepas mereka berjaya meraih keputusan positif ke atas Kedah dan Selangor sebelum saingan Liga Malaysia dihentikan kerana Covid-19 awal tahun ini.
“Justeru, saya mahu barisan pemain berwaspada sepanjang 90 minit perlawanan kerana kami meletakkan sasaran untuk mengutip mata penting pada perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, bekas pengendali pasukan Selangor itu mengakui pasukannya berada dalam tahap terbaik selain semua pemain dalam skuad utama tidak mengalami sebarang masalah kecederaan.
“Kami telah melakukan persiapan rapi sejak bulan lalu. Secara jujur, bukan mudah dari segi mentaliti pemain untuk kembali dalam kancah kompetitif selepas berehat lebih lima bulan.
“Namun, barisan pemain PJ City FC tidak mengalami masalah tersebut dan tiga aksi persahabatan yang kita harungi sepanjang bulan ini berakhir dengan kemenangan.
“Lebih penting, semua pemain kami cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan termasuk bintang import serta kapten pasukan, Mohd. Safee Sali,” katanya.