MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menafikan kegagalan kelab itu mendapatkan penyerang baharu menjadi punca mereka tidak berjaya meraih kemenangan apabila terikat tanpa jaringan menentang Southampton kelmarin.
Pada aksi yang berlangsung di Etihad itu, City hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat ke arah gawang Southampton sepanjang perlawanan berlangsung dan ia merupakan rekod paling buruk sejak Mac 2017.
“Hari ini kami gagal meraih kemenangan bukan kerana kami tidak mempunyai penyerang. Kami tidak berjaya kerana cara kami memulakan gerakan adalah silap menyebabkan pemain di bahagian serangan tidak mendapat banyak peluang.
“Alasannya bukan kerana tidak mempunyai penyerang. Kami tidak bermain dengan baik bermula dari empat pemain pertahanan dan Fernandinho. Kelima-lima mereka tidak mampu untuk melakukan hantaran yang baik kepada pemain lain,” katanya.
Dalam pada itu, Guardiola mengakui kenyataannya meminta para penyokong hadir ke stadium telah disalah ertikan sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat setia pasukan itu.
“Saya tidak mengeluarkan apa-apa perkataan yang salah selepas perlawanan menentang RB Leipzig. Saya kata, kami perlukan sokongan daripada para peminat. Saya tidak kisah berapa ramai yang akan datang dan saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini sepanjang karier saya sebagai pengurus.
“Apabila kami gagal bermain dengan baik dan tidak mendapat kemenangan, saya rasa kecewa seperti juga peminat. Saya rasa bersalah apabila pasukan ini tidak berjaya meraih tiga mata.
“Saya masih terkejut kerana ramai yang menyelar kenyataan yang saya keluarkan kerana sepanjang lima tahun di sini, tidak ada yang mempersoalkan tindakan saya. Bagi saya, peminat adalah penting terutama ketika kami melakukan serangan dan membuat tekanan kepada pasukan lawan pada penghujung permainan,” katanya. – AGENSI