BRASILIA, Brazil – Seorang lelaki yang menghampiri usia warga emas mencuri perhatian netizen kerana memiliki paras rupa pemuda berusia dalam lingkungan 20-an lapor portal berita odditycentral kelmarin.
Namun, lelaki tersebut, Edson Brando sudah mencapai usia 53 tahun. Malah wajahnya kelihatan lebih muda apabila usianya semakin meningkat.
Brando yang merupakan seorang selebriti media sosial, jurulatih peribadi dan penulis, menafikan pernah menjalani pembedahan kosmetik untuk kelihatan muda.
“Saya tidak menafikan mungkin wajah muda ini disebabkan faktor genetik.
“Namun apa yang pasti, saya menjalani hidup secara positif, mengamalkan gaya hidup sihat dan melakukan rutin penjagaan wajah setiap hari,” katanya kepada media Drum World.
Tambah Brando, dia juga mengamalkan gaya pemakanan sihat dan makan banyak buah-buahan, sayuran serta kerap minum air kosong selain menggunakan krim antipenuaan untuk mengekalkan keremajaan kulit.
“Saya mengelak makanan bergula, makanan segera, makanan ringan dan bergoreng selain tidak mengambil minuman ringan kerana tidak menyihatkan.
“Apa yang paling penting ialah saya juga tidak merokok atau mengambil dadah,” ujarnya.
Kerana sering menjadi perhatian, Brando tidak lokek untuk berkongsi tip dan nasihat penjagaan diri di laman sosial dan laman web miliknya. – AFP