SHAH ALAM – Seramai 485 individu terdiri guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah diarah untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Rabu ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan itu kepada semua individu berkenaan dan pihaknya tidak bertindak kejam kerana masih memberi ruang dan masa kepada individu tersebut sebelum ini.
“Namun, jika alasan mereka tidak dapat diterima untuk mengambil vaksin, maka tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah berkenaan supaya hadir mendapatkan suntikan vaksin.
Kosmo! pada 2 September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita menzahirkan rasa dukacita apabila 112 individu termasuk guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini enggan menerima suntikan vaksin.
Berdasarkan laporan terperinci diterima daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19 manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.
Bagi pegawai masjid pula didapati seramai 59 orang belum menerima vaksinasi dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian selain sembilan orang jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenalpasti enggan menerima vaksin – K! ONLINE