KURANG aksi persahabatan selain kekurangan pemain merencatkan persiapan Kelantan menjelang saingan Liga Premier bertemu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini.
Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah mengakui bimbang mengenai persefahaman antara semua pemain akibat kekurangan aksi persahabatan.
Katanya, satu perlawanan persahabatan menentang Terengganu FC I pada 11 Ogos lalu masih belum mencukupi memandangkan sudah berehat hampir empat bulan akibat pandemik Covid-19.
“Menjelang aksi UKM, saya fikir persiapan sebenarnya agak kurang kerana kami mula berlatih sedikit lewat, jadi ia merencatkan rancangan saya.
“Kami hanya beraksi sekali pada perlawanan persahabatan iaitu ketika bertemu TFC I. Justeru, kurang aksi persahabatan boleh jejaskan kombinasi serta persefahaman pemain,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Justeru, beliau berharap pemain-pemainnya bijak mendapatkan rehat bagi memastikan mereka benar-benar cergas untuk meneruskan baki saingan liga musim ini.
“Kami kekurangan pemain ketika ini kerana ada yang menarik diri, jadi saya harap semua pemain bijak dapatkan rehat mencukupi kerana Kelantan ada sebilangan kecil pemain sahaja,” tambah beliau.
Pada masa sama, bekas pemain Perlis dan Selangor itu juga berharap peminat-peminat TRW faham situasi dihadapi pasukan tersebut sekiranya gagal mencatat keputusan yang dimahukan.
“Saya mohon peminat jangan kecam pemain seandainya berlaku kesilapan. Ketika ini, kami kekurangan pemain kerana ada yang tarik diri serta akibat kecederaan.
“Tidak dinafikan, kami berdepan situasi yang cukup sukar tetapi ia bukan alasan untuk kami mengibar bendera putih. Kami akan cuba tempatkan pasukan pada posisi terbaik,” ujarnya.
Difahamkan, Kelantan hanya memiliki 14 pemain yang boleh dipilih untuk diturunkan dalam kesebelasan utama esok, manakala tiga daripada senarai 14 pemain itu akan berada di bangku simpanan.