IPOH – Isu jualan tapak bangunan istana lama dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar dekat Teluk Intan akan dibawa semula ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).
Keputusan untuk jualan secara tender terbuka itu telah diputuskan kepimpinan kerajaan negeri terdahulu.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan semula pada mesyuarat Exco Rabu ini kerana ia adalah keputusan pada tahun lalu untuk menjual tanah tersebut.
Menurut beliau, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi untuk dikaji semula.
“Saya telah maklumkan pada Datuk Nolee untuk lihat dan bincang semula perkara ini setelah mendapat beberapa bantahan dan pandangan mengenai kawasan bersejarah yang perlu kita pelihara,” katanya di sini hari ini.
Menurut Saarani, sebarang keputusan mengenai jualan kawasan bersejarah itu akan diputuskan dalam mesyuarat berkenaan manakala tender berkenaan baru dibuka.
Media baru-baru ini melaporkan, kawasan bangunan istana lama berusia 97 tahun yang berkeluasan dua hektar itu dibuka untuk jualan secara bidaan terbuka.
Kawasan yang dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak itu dikatakan mempunyai nilai tinggi untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929