PETALING JAYA – Selepas kerajaaan membenarkan rentas daerah dan aktiviti pelancongan dalam negeri, rata-rata orang ramai mengemas kini tempat menarik untuk dilawati di negeri masing-masing.
Menariknya, mereka mempertahankan ‘kehebatan’ dan kelebihan di negeri masing-masing yang mempunyai banyak kawasan tumpuan terutamanya membabitkan negeri Melaka dan Pahang.
Menerusi satu hantaran di media sosial Facebook yang dimuat naik @Shah Adun berkata, walaupun di Pahang masih tidak boleh merentas negeri namun orang Pahang boleh pergi ke beberapa tempat tumpuan yang sentiasa dipenuhi orang ramai.
“Nak bagitau ni, kami di Pahang tak boleh lagi rentas negeri jadi kami cuma boleh pergi ke Genting Highland, Cameron Highland, Fraser Hills, Pulau Tioman, Cherating. Eh banyak pula tempat boleh pergi. Itu je nak bagitau,” selorohnya.
Tidak ketinggalan dalam mempamerkan kehebatan negeri mereka, orang ramai di Melaka turut mengambil kesempatan dengan menyenaraikan lebih 50 kawasan percutian di negeri yang terkenal dengan sejarahnya itu.
Antara destinasi yang menjadi tumpuan orang ramai di negeri itu ialah Kota A Famosa, Jonker Walk, Melaka River Cruise, Rumah terbalik Melaka, Pantai Klebang dan Pantai Puteri.
Hantaran yang dimuat naik @Melaka Kini di media sosial Facebook itu mendapat lebih 2,300 reaksi dan dihujani lebih 1,000 komen orang ramai.
Salah seorang pengguna Facebook, @Ahmad Nazim berkata, sepatutnya @Melaka Kini memberi sedikit sahaja lokasi tumpuan bagi membolehkan orang Melaka berehat dan memberi peluang kepada orang Melaka sendiri untuk bersiar-siar.
“Bagi senarai tempat tu sikit-sikit dah la, tempat makan tu pun sama, Apa ke semua tempat nak share dengan orang luar. Kesian sikit kat orang Melaka nak merayau,” jelasnya.
Sementara itu, @Princess Nor Izzati berkata, sebagai anak jati Melaka namun telah lebih enam tahun tinggal di Pahang, dia memilih untuk menyokong kedua-dua negeri. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929