PETALING JAYA – Dengan hanya sekali lafaz, penyanyi rap terkenal Zizi Kirana sah bergelar isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin sekitar pukul 10.40 pagi tadi.
Hal tersebut sekali gus meleraikan spekulasi dan khabar angin yang bertiup kencang dalam laman sosial mengenai perkahwinan mereka sejak semalam.
Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd. Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.
Majlis pernikahan diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.
Penyanyi lagu Eh! itu menerima mas kahwin berupa senaskah al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula tidak didedahkan.
Zizi dilihat anggun mengenakan persalinan hitam klasik rekaan Shanell Harun dan ditatarias oleh jurusolek terkenal Datuk Alha Alfa.
Usai pernikahan, pasangan pengantin meluahkan rasa syukur majlis akad nikah mereka berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar. Kalau nak tahu hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.
“Semuanya dilakukan saat-saat akhir. Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan. Doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke jannah.
“Insya-Allah kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan,” kata Zizi.
Berkongsi mengenai perkenalan mereka, Zizi berkata, dia mula mengenali Yusuf ketika rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini.
Mereka mula serius mengenali hati budi masing-masing kira-kira dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan meneruskan fasa hubungan ke alam perkahwinan.
“Pertama kali jumpa kenal Yusuf semasa rakaman program ATNMY, masa tu kami tak bertegur pun, masih belum ada perasaan sampailah selepas raya Aidilfitri lalu, dia menghubungi saya dan kami mula berkawan.
“Saya selesa berkawan dengannya dan dia nampak ikhlas dalam perhubungan ini hingga hujung bulan Ogos kami rancang untuk terus berkahwin. Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami ini, jadi rasanya tak perlulah nak tunggu lama-lama.
“Sejujurnya sepanjang perkenalan ini, kami hanya berjumpa beberapa kali sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Kami lebih banyak berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan media sosial,” ujarnya.
Ditanya mengenai cahaya mata, Zizi berkata dia dan Yusuf bersedia menerima zuriat dalam masa terdekat.
“Kalau ada rezeki anak, kami terima seadanya. Kalau ada dua anak pun dah cukup.
“Tiada perancangan bulan madu sebab esok saya dah bekerja macam biasa. Cuma kita ada rancang untuk tunaikan umrah bersama selepas sempadan negara dibuka,” katanya. – K! ONLINE