PETALING JAYA – Pembentangan Bajet 2022 bulan depan dianggap masa paling sesuai untuk kerajaan memperkenalkan peraturan kawal selia industri vape tempatan.
Malaysia Vape Industry Advocacy (MVIA) berkata, peraturan tersebut mampu membantu menyemarakkan pemulihan ekonomi, menarik pelaburan asing, serta memberi perlindungan kepada pengguna dari segi kualiti produk yang ditawarkan
Menurut Presidennya, Rizani Zakaria, pihak industri telah memperjuangkan pelaksanaan peraturan bagi memperkasa industri vape sejak sekian lama dan ketika negara bergelut dengan pelbagai isu ekonomi dan kesihatan, sudah tiba masanya peraturan tersebut dilaksanakan.
“Bajet 2022 akan dibentangkan tidak lama lagi dan kami berharap permintaan ini mendapat perhatian kerajaan.
“Kami di MVIA bersedia membantu kerajaan dan menjadi suara industri untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan peraturan kawal selia ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Rizani memberitahu, pihaknya telah menyerahkan cadangan kepada kementerian yang berkenaan dan akan memohon sesi konsultasi bersama kerajaan untuk memberi maklum balas berkenaan keperluan peraturan untuk industri vape.
Tambahnya, industri vape yang kukuh bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri dan pengguna, malah menggalakkan pengwujudan usahawan terutamanya Bumiputera untuk terlibat dalam rantaian bekalan, seterusnya menyediakan peluang pekerjaan.
“Kita sedia maklum pemulihan sedang berjalan melalui Pelan Pemulihan Negara, jadi kerajaan harus menyenaraikan industri vape sebagai salah satu fokus yang boleh membantu pembangunan ekonomi, modal insan dan kesihatan awam,” katanya.
Tegas Rizani, pengguna vape di Malaysia adalah bekas perokok dan mereka mendukung polisi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) dan hanya dengan peraturan, produk vape dapat membantu perokok berhenti merokok dengan bertukar kepada alternatif yang kurang mudarat.
“Satu adalah produk yang terbukti berbahaya dan memberikan risiko kesihatan yang tinggi, manakala produk vape terbukti produk yang kurang mudarat dan membantu perokok berhenti merokok.”
“Oleh itu, peraturan perlu ada perbezaan untuk membolehkan produk vape yang kurang mudarat dipromosikan untuk membantu perokok berhenti merokok dan mengurangkan kadar perokok di Malaysia,” katanya.
MVIA menganggarkan industri vape tempatan kini bernilai RM2.27 billion dengan penglibatan 3,300 perniagaan berdaftar. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929