KOTA KINABALU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang, meninggal dunia ekoran jangkitan Covid-19 awal pagi ini.
Allahyarham yang berusia 71 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.45 pagi tadi.
Difahamkan Allahyarham menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu sejak awal bulan ini.
Nilwan yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah menjadi ADUN Kunak selama dua penggal bermula pada 2008 hingga 2018.
Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan sekali lagi mempertahankan kerusi pada PRU 2013.
Bagaimanapun, beliau tewas di tangan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Norazlinah Arif pada PRU 2018 dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 pada September tahun lalu.
Sepanjang karier politiknya, Allahyarham pernah menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman selepas memenangi PRU 2013.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raimie Unggi, ketika dihubungi, berkata pengebumian jenazah Allahyarham diuruskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Putatan, dekat sini, hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929