LEICESTER – Pengurus Leicester, Brendan Rodgers mengakui pasukannya memerlukan tahap teknikal yang lebih tinggi untuk menjadi sebuah pasukan yang memiliki kekuatan tersendiri.
Awal pagi kelmarin, The Foxes terlepas peluang untuk merakam kemenangan pertama pada saingan Liga Europa apabila terikat 2-2 menentang Napoli walaupun mereka mendahului perlawanan dengan dua gol.
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini, Leicester mencatat dua kemenangan ketika menentang Wolverhampton dan Norwich, namun tumbang kepada West Ham United dan Manchester City.
“Apa yang pasti kami perlukan penambahbaikan dan saya sangat yakin bahawa proses itu sedang berjalan.
“Masih terlalu awal, saya fikir anda hanya boleh membuat penilaian terhadap pasukan ini selepas 10 perlawanan. Kami masih sedang mencari rentak dan para pemain juga sedang berusaha untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik.
“Saingan ini sentiasa mencabar dan pasukan-pasukan utama telah membuat pelaburan untuk mendapatkan pemain baharu, maka tidak hairanlah kedudukan mereka lebih baik ketika ini,” katanya.
Leicester akan turun menentang Brighton malam ini ketika skuad kendalian Graham Potter itu berjaya meraih tiga kemenangan dalam empat perlawanan.
“Saya mengagumi apa yang dilakukan oleh Potter. Tugas sebagai pengurus adalah meyakinkan pemain mengenai kemampuan diri,” jelas Rodgers. – AGENSI