LONDON – Bintang seni bela diri campuran (MMA) dunia, Conor McGregor kemungkinan akan kembali ke gelanggang semula pada penghujung tahun ini selepas pulih daripada kecederaan patah kaki pada Julai lalu.
McGregor mengalami patah tulang tibia dan fibula kaki kirinya ketika tewas di tangan petinju Amerika Syarikat (AS), Dustin Poirier ketika pertembungan UFC 264 di Las Vegas.
Akibat kecederaan tersebut, jaguh tinju Ireland terpaksa berehat lama dan dijangka mengambil masa sehingga 2022 untuk pulih sepenuhnya.
Bagaimanapun, McGregor melalui proses pemulihan lebih cepat dan dilihat sudah boleh berdiri dan berjalan meskipun masih terpaksa menggunakan bantuan tongkat.
Presiden UFC, Dana White teruja melihat keadaan Gregor yang bertambah baik dan mengakui petinju berusia 33 tahun itu berpeluang untuk kembali beraksi, namun bergantung kepada kekuatan kakinya.
“Saya lihat McGregor sembuh dengan baik dan persoalannya sekarang bilakah dia akan kembali bertarung semula. Jika dia dapat melakukan tendangan, dia berpeluang untuk kembali beraksi sebelum akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, ia terpulang kepada keadaan kakinya sama ada sudah pulih sepenuhnya atau pun tidak,” kata White.
Baru-baru ini, McGregor mendedahkan bahawa dia sudah boleh melakukan tendangan, namun enggan mengambil risiko untuk menjalani latihan keras.
“Secara jujurnya saya dapat rasa mampu untuk melakukan tendangan tetapi saya perlu mendengar nasihat doktor.
“Saya bekerja keras untuk pulih dan lega bila saya dapat berjalan semula. Apa yang saya boleh katakan adalah saya akan kembali. Jika ada yang mahu saya berhenti disebabkan kecederaan ini, tolong fikirkan semula,” tegas McGregor. – AGENSI