PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini meluangkan masa mengadakan lawatan secara mengejut di Hospital Kajang.
Beliau yang tiba di hospital tersebut tengah hari tadi ditemani oleh seorang pegawai sahaja difahamkan telah bertemu dengan doktor, jururawat dan petugas kesihatan untuk melihat keadaan sebenar di hospital berkenaan.
Gambar Khairy Jamaluddin ketika melawat hospital tersebut telah dikongsi oleh seorang pengguna Twitter, Khairul Hafidz petang tadi.
“Spotted in (dikesan di) Hospital Kajang. Ini baru betul bila kita kata lawatan mengejut. Memang boleh tercabut jantung staf bila nampak YBMK datang macam ni je.
“Good job YB @Khairykj,” ciapnya.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan Khairy Jamaluddin yang sanggup turun melihat sendiri keadaan di hospital tanpa protokol.
“Ini yg sepatutnya, bukannya kena bagitahu seminggu awal..dah satu hal kena buat majlis sambutan bagai. Staf hospital banyak lagi kerja lain nak buat,” kata Emman.
“Menteri Kesihatan paling terbaik @Khairykj. Terkejut bila tiba-tiba datang sapa suami saya,” kata Aina.
“Terbaik, rasanya inilah pendekatan yang sangat bagus. Menteri turun sendiri, tak perlu sambutan dan tengok masalah di bawah,” kata Laddy Crystal.
“Bagus semua kementerian buat macam ni. Datang mengejut tak payah ramai-ramai. Baru nampak flow apa yang kau nak tengok. Bukan cover-cover bila rasmi,” kata Hafiz.
Perkongsian itu turut tular di media sosial dan mendapat lebih 13,000 tanda suka. – K! ONLINE