BEIJING – Satu kajian baharu menunjukkan bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan keinginan seksual seseorang menurun dengan ketara, lapor Suara.com, semalam.
Kajian yang dilakukan oleh saintis dari China dalam The Journal of Sexual Medicine mendedahkan bahawa keadaan tersebut berlaku disebabkan kelesuan dan keletihan seseorang dalam berdepan pelbagai sekatan ekonomi semasa Covid-19.
Berdasarkan keputusan kajian yang melibatkan 459 peserta, 25 peratus daripadanya mengalami penurunan keinginan seksual yang ketara.
“Meskipun tiada hubung kait jelas dan langsung antara nafsu seksual dan pandemik Covid-19, namun ia berlaku dalam kalangan masyarakat dunia.
“Ini kerana badan kita berada di bawah tekanan dan kepenatan melawan Covid-19 sehingga mengganggu hormon seksual pada skala normal,” tulis kajian itu.
Selain itu, hormon badan yang dikenali sebagai kortisol dan epinefrin dilepaskan secara berlebihan apabila manusia tertekan dan situasi itu menyumbang kepada penurunan rasa ghairah seseorang. – Agensi