LISBON – Pemain sayap Bayern Munich, Kingsley Coman mengakui, tiada sentimen dalam dirinya meskipun bakal menentang bekas pasukannya, Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi final Liga Juara-Juara di Stadium Da Luz awal pagi Isnin ini.
Sebagai rekod, Coman merupakan pemain yang lahir dari Akademi PSG sebelum berhijrah menyertai ke Itali menyertai gergasi Serie A, Juventus dan kini memilih untuk mewakili Bayern.
Coman mengakui, hatinya sudah 100 peratus menjadi milik kelab The Bavarians itu dan dia tiada sebarang perasaan dilema atau kasihan apabila bertemu PSG nanti.
“Ini adalah fakta menarik apabila anda bakal bertemu dengan bekas pasukan di final Liga Juara-Juara. Namun, misi saya mahu membantu Bayern, bukannya bersimpati dengan bekas kelab sendiri iaitu PSG.
“Bukan mudah untuk melangkah ke final tetapi kami berjaya melakukannya dengan penuh bergaya. Cuma, saya mahu rakan-rakan sepasukan tidak memandang rendah terhadap kemampuan PSG,” katanya.
Mengulas lanjut, pemain antarabangsa Perancis berusia 24 tahun itu percaya rakan senegaranya yang mewakili PSG, Kylian Mbappe mampu menjadi penghalang hasrat Bayern untuk menjuarai saingan Liga Juara-Juara musim ini.
“Semua orang tahu kualiti yang dimiliki Mbappe. Dia boleh melakukan perubahan dalam perlawanan pada bila-bila masa.
“Jadi tidak keterlaluan untuk mengatakan impak Mbappe buat PSG sama seperti apa yang dilakukan Lionel Messi bersama Barcelona,” jelasnya. – AGENSI