fbpx

Isu mental, jangan malu minta tolong – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERRA FAZIRA

PETALING JAYA – Selebriti versatil, Erra Fazira mengingatkan semua agar sentiasa bertanya khabar berita kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang mungkin sedang dirundung kesedihan atau sedih ketika ini.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek berkata, ramai yang sedang diuji dengan pelbagai cabaran serta dugaan termasuk isu berkaitan kesejahteraan mental lebih-lebih lagi di era pandemik ini.

Kata Erra, setiap kali berbual atau berkongsi cerita atau masalah yang dihadapi bagi mengurangkan beban emosi yang ditanggung.

“Bila ada saja masa lapang, saya mesti akan telefon atau mesej seorang kawan untuk bertanya khabar. Cukup dengan soalan ringkas, adakah awak okey dan itu amat bermakna kepada kawan-kawan kita yang mungkin sedang sedih atau sunyi. Lebih-lebih lagi sewaktu pandemik,” kata Erra.

“Jadi, jika ada antara kita yang menghadapi masalah atau rasa terbeban ketika ini, luahkan perasaan dengan seorang yang kita percaya.

“Jangan malu untuk meminta bantuan kerana meminta bantuan itu sebenarnya tanda kekuatan,” tulisnya. 

Dalam perkongsian sama, Erra yang terkenal dengan jolokan Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu turut berkongsikan pautan informasi lanjut berhubung kesihatan minda dan mental yang disediakan Kementerian Kesihatan.

Katanya, penting mengenal pasti perubahan tingkah laku individu seperti sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan artis bersetuju dengan apa yang dikatakan pelantun lagu Yang Terindah Hanyalah Sementara itu.

Awal September, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat Julai lalu iaitu peningkatan 143 peratus atau 1.4 kali lebih tinggi berbanding 262 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu juga lebih tinggi berbanding 631 kes bunuh diri di negara ini sepanjang tahun lepas dan 609 kes pada tahun sebelumnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI