LISBON – Pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti sedia merebut tempat dalam kesebelasan utama menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Stadium Da Luz pada awal pagi Isnin ini.
Kata Verratti, aksi menentang Bayern boleh dianggap sebagai tempoh 90 minit paling penting dalam karier profesionalnya sejak berhijrah ke PSG pada umur 19 tahun lapan tahun lalu.
“Kami telah berjaya mendominasi saingan Liga Perancis sejak beberapa tahun lepas tetapi kejohanan Liga Juara-Juara adalah berbeza kerana sukar untuk dimenangi.
“Namun, musim ini nasib lebih memihak kepada PSG dan saya percaya hanya 90 minit menentukan sama ada kami mampu mencipta sejarah baharu kelab ini ataupun tidak,” katanya.
Sebagai rekod, Verratti terlepas aksi suku akhir sewaktu menewaskan Atalanta kerana mengalami kecederaan dan kini berharap dapat meraih semula posisinya yang sebelum ini menjadi milik Ander Herrera.
“Kita tahu kualiti Herrera yang memiliki banyak pengalaman di pentas Eropah. Namun, saya sudah cergas sepenuhnya dan kini pilihan terletak di tangan jurulatih (Thomas Tuchel).
“Apa yang pasti, saya sentiasa bersedia andai diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama,” kata pemain antarabangsa Itali berusia 28 tahun itu. – AGENSI