LEICESTER – Leicester City mensia-siakan kelebihan dua gol apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Napoli pada aksi Kumpulan C saingan Liga Europa di Stadium King Power awal pagi semalam.
The Foxes terlebih dahulu mendahului perlawanan 2-0 hasil jaringan Ayoze Perez dan Harvey Barnes, namun pasukan Serie A itu bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol yang dijaringkan Victor Osimhen.
Pengurus Leicester, Brendan Rodgers mengakui kecewa dengan keputusan itu kerana menganggap pasukannya menampilkan aksi lebih baik berbanding Napoli dari segi penguasaan bola serta mencipta peluang.
“Kecewa dengan keputusan ini tetapi masih ada beberapa perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan. Kami juga ada satu gol yang tidak dikira, jadi bukan rezeki kami hari ini (semalam).
“Saya fikir pemain-pemain agak kepenatan kerana mengharungi terlalu banyak perlawanan sebelum ini. Sekiranya kami memegang lebih banyak bola, sudah tentu isu kepenatan ini boleh dielak,” kata bekas pengendali Liverpool itu.
Dalam pada itu, beliau juga memuji aksi yang ditampilkan pemain-pemainnya kerana tidak mudah berputus asa sepanjang perlawanan apabila terus melancarkan serangan demi serangan selepas pasukan lawan menyamakan kedudukan.
“Saya gembira dengan usaha serta mentaliti yang ditunjukkan semua pemain, namun nasib tidak menyebelahi pasukan kami. Napoli juga tidak banyak mencipta peluang, jadi ia menandakan kami lebih banyak menguasai permainan,” ujarnya. – AGENSI