KAJANG – Dua buah kenderaan mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok tumbang di Jalan 5/5 Seksyen 5, Bandar Rinching, Semenyih, dekat sini lewat petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan kejadian pada pukul 6.49 petang.
“Seramai enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan dan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi 10 minit kemudian, petugas mendapati tiga batang pokok telah tumbang dan menghempap dua buah kenderaan yang diparkir di kawasan itu.
“Kenderaan tersebut adalah Proton Persona dan Proton Iris. Kedua-duanya mengalami kerosakan,” ujarnya sebentar tadi.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. – K! ONLINE.