PETALING JAYA – Pernah tersepit dalam situasi rumit apabila adik perempuannya disahkan positif Covid-19 namun tidak dipanggil Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dikuarantin, pelakon Sherie Merlis lega apabila episod hitam itu sudah berlalu.
Pemilik nama lengkap, Sharifah Saadah Wan Zainal Kassim itu bagaimanapun menegaskan bahawa mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas soal kesihatan rakyat perlu menjalankan peranan dengan telus.
“Berlaku pada diri kita, baru kita tahu apa nak buat. Kalau ada seorang ahli keluarga positif Covid-19, benda itu sangat bahaya untuk ahli keluarga yang lain lagi-lagi kalau duduk bersama.
“Tak boleh lepas begitu sahaja. Penerangan yang betul dan tepat boleh selamatkan keadaan serta nyawa. Ada sampai berbelas orang sekali gus kena Covid-19, it’s not okay (tak okey).
“Kita rakyat dan kita ada hak. Jangan sampai dah tak boleh bernafas, baru ambulans datang rumah nak angkut dan ambil peduli,” katanya kepada Kosmo! Online dalam satu sesi temu bual virtual sebentar tadi.
Nasihat Sherie, andai sesiapa berdepan situasi panik selepas ini dan tidak mendapat respons daripada pihak berwajib, pergi ke mana-mana balai polis atau hubungi talian helpline (talian bantuan).
“Kalau rasa berdepan situasi panik atau tak dapat maklum balas, tak usah guna carian Google, itu mungkin tidak membantu.
“Pergi balai polis atau hubungi helpline. Itu yang patut saya buat terlebih dahulu sebelum ini namun benda dah jadi dan saya bersyukur sedikit banyak tindakan saya membuka mata orang ramai,” ujar pemegang trofi Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2012 itu.
Terdahulu pada 22 Ogos lalu, Sherie menerusi Instagram miliknya merayu kepada pengikut media sosial dalam Instagram untuk membantunya berkaitan kebuntuan yang dihadapi apabila adik perempuannya disahkan positif Covid-19.
Dalam perkongsian satu video berdurasi empat minit dan 42 saat itu, Sherie yang kelihatan sugul jelas sangat risau mengenai keselamatan ahli keluarga terutama ibu bapanya berserta enam kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu.
Bagaimanapun, selepas membuat pendedahan berhubung keadaan adiknya yang positif Covid-19, akhirnya pelakon Sherie Merlis dan keluarga mendapat bantuan segera daripada pihak KKM.
Dalam pada itu, Sherie muncul dengan drama baharu berjudul I-Tanggang yang mengisi slot Astro Originals.
Drama premium 12 episod berkenaan mula menemui penonton setiap hari Isnin, pukul 9 malam di Astro Citra (saluran 108) bermula 13 September.
Sherie melakonkan watak bernama Erma dan bergandingan buat kali pertama dengan pelakon cilik, Danish Hazriq.
I-Tanggang merupakan drama pertama di Malaysia yang mengetengahkan isu penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy. – K! ONLINE