fbpx

‘Janji setia hingga hujung nyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurain bersama suaminya yang terlantar selepas diserang strok di rumah mereka di Kulai, Johor.

KULAI – Kemanisan dan kebahagian sepasang suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga sejak 12 tahun lalu bagaikan diragut apabila ketua keluarga mereka diuji masalah kesihatan.

Tanggal 11 Julai lalu menjadi satu memori yang tidak dapat dilupakan Nurain Rozman, 28, apabila suaminya, Sabri Mohamed Khairi, 36, disahkan menghidap strok.

Menurut Nurain yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, suaminya mula jatuh sakit ketika dia mahu mandi waktu tengah hari untuk solat zuhur.

“Ketika kejadian, saya baru tiga bulan melahirkan anak keempat kami yang lahir pada Mei lalu. Masa itu suami nak mandi, dia keluar dari bilik air tiba-tiba tak boleh bercakap.

“Dia minta nak minum air tetapi menggunakan isyarat ta­ngan, mulut sudah tidak dapat keluar kata-kata sebelum rebah dan pengsan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Panik dengan apa yang berlaku ke atas suami, Nurain de­ngan bantuan jiran dan ibunya membawa Sabri ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

NURAIN bersama suami dan anak-anak.

Menurut ibu empat cahaya mata itu, doktor menasihatkan agar suaminya dibedah dengan kadar segera selepas didapati berlaku pendarahan di dalam kepalanya.

“Sebelum masuk dewan bedah, suami sudah kritikal dan saya bisik di telinganya, biar apa pun terjadi, saya akan tetap bersama sayang (suami) sampai hujung nyawa,” katanya.

Nurain berkata, selepas selesai dibedah, suaminya koma selama lima hari sebelum hari keenam doktor memohon kebenaran untuk menebuk leher bagi memasang alat bantuan pernafasan serta tiub untuk susu.

“Sebelum ini suami kerja sebagai operator sebuah kilang sebelum memilih untuk berhenti kerja selepas sering mengambil cuti sakit sebab sakit kepala dan masa itu juga saya turut kerja operator, tetapi Rabu lalu tarikh akhir saya bekerja,” katanya.

Katanya, kini dia buntu memikir nasib keluarganya pada masa akan datang terutamanya melibatkan kewangan apabila kos untuk menguruskan suaminya sahaja sudah mencecah RM2,000 tanpa mengambil kira makan minum anak-anak.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga Nurain boleh menghubunginya di talian 014-2271 536 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0110-7411-0003-1412.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI