fbpx

Wahai insan, penggali kubur kirim salam!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SELEPAS begitu lama terkurung, terkepung dan tersekat dek Perintah Kawalan Pergerakan, pengumuman kelonggaran demi kelonggaran di bawah Pelan Pemulihan Negara kelihatannya begitu melegakan ramai.

Jika pada Ogos lalu, kebanyakan rakyat kelihatan begitu terkesan dengan angka-angka kematian, sebak dengan cerita-cerita pilu anak-anak yatim kehilangan ibu dan bapa serentak serta takut dan bimbang dengan kisah-kisah bekas pesakit Covid-19 yang di ambang kematian semasa di unit rawatan rapi.

Kini pada September, semua kelihatan sudah lupa. Masing-masing mula bercerita mengenai pelan untuk berkelah, beriadah dan bercuti.

Tidak boleh merentas negeri pun tidak mengapa. Asal boleh merendam kaki di air terjun, asal boleh menghirup angin laut pun sudah cukup memadai.

Maka jadilah taman-taman rekreasi penuh sesak dengan manusia. Masing-masing datang berbondong-bondong tanpa lagi memikirkan risiko dan bahaya virus korona yang masih menggila pada masa kini.

Itu belum lagi kepada sebilangan yang cuba mengambil kesempatan menjadikan kelonggaran untuk aktiviti riadah sebagai tempat bertemu rakan taulan dan sanak saudara. Almaklum, kami ni dah ada lesen besar – sijil suntikan vaksin lengkap, kata mereka.

Mereka seperti tidak kisah lagi bahawa pada Rabu lalu terdapat 19,495 kes baharu positif Covid-19, melonjak naik semula selepas angka tersebut menurun pada awal minggu. Jumlah keseluruhan positif pula telah mencapai 2,049, 750 kes.

Supaya tidak mudah alpa, saya bawakan kes kematian sehingga 16 September iaitu 22,355 telah kembali ke alam barzah disebabkan virus korona ini. Mereka termasuklah rakan-rakan dan saudara-mara kita, baik jauh mahupun dekat.

Begitu juga kes aktif positif Covid-19 yang ada hari ini masih cukup tinggi iaitu lebih 227,000 orang. Satu jumlah yang cukup banyak, sekurang-kurangnya kena ada tiga stadium Bukit Jalil kalau nak himpun semua mereka ini.

Jika ditinjau kawasan selamat pula, selepas puas dibelek-belek, tidak jumpa satu pun daerah hijau. Semuanya merah kecuali Perlis yang berwarna kuning. Peratusan penggunaan katil di unit rawatan rapi di lima negeri juga masih kritikal di atas 90 peratus. Kedah paling teruk 101%.

Jadi apa nak dibanggakan sekarang ini? Ya, kadar vaksinasi kita sudah mencapai lebih 75 peratus. Tetapi itu bukan lesen untuk kita semua bersuka ria sampai lupa prosedur keselamatan diri dan keluarga.

Rasanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sendiri dah berbuih mulut ingatkan aspek 3S iaitu sesak, sempit dan sembang (dekat).

Jelasnya, kita ini memang mudah lupa. Ibarat kata jerat tiada lupa akan balam, tetapi balam sering lupa akan jerat. Lupa jerat okey lagi, tapi jangan kita lupa risiko virus korona boleh membawa ke rumah abadi.

Akhirnya nanti, penggali kubur juga yang dicari. Bagi mereka tiada erti cuti, hujan panas, ribut petir, 24 jam bersedia untuk berbakti. Mereka ini kirim salam kepada kita semua!- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI