JAKARTA – Seorang wanita menjadi tular di media sosial Instagram kerana memiliki kekasih yang merupakan seorang pekerja binaan, sekaligus membuktikan bahawa cinta tidak memandang paras rupa, lapor laman Suara.com.
Menerusi satu video yang dimuat naik di akaun @konten.uwu itu, seorang wanita kelihatan sedang memegang tangan kekasihnya yang berwarna kehitaman akibat debu dan kotoran bangunan.
Menerusi kapsyen yang dimuat naik wanita itu, dia mengatakan bahawa dirinya tidak memandang paras rupa dan lebih mementingkan sikap dan keperibadian pasangannya itu.
“Yang penting kerja keras kan. Salah satu bukti bahawa perempuan tidak memilih paras rupa,” demikian kenyataan gadis itu pada video tersebut.
Namun, rata-rata netizen yang menonton video tersebut mendakwa wanita itu sengaja mahu mencuri perhatian dengan berbuat begitu kerana teman lelakinya itu sebenarnya merupakan seorang jejaka yang tampan.
Hal ini kerana dalam video pendek itu, separuh wajah lelaki itu dapat dilihat dan selain tampan, dia juga memiliki warna kulit yang cerah.
“Itu tampan, cuma ditutupi dengan minyak,” tulis seorang netizen.
“Kekasihnya itu sekiranya sudah mandi dan mengenakan pakaian yang cantik, kacak jadinya,” kata seorang netizen lain.
Video tersebut mendapat lebih 3,000 tanda suka dengan ratusan komen. – Agensi